Peruntukan Kesihatan RM47.7 bilion langkah progresif memperkasakan sistem kesihatan negara - RINA

BERITAISU SEMASA

2/22/2026

TAWAU, 11 OKTOBER - Peningkatan peruntukan kesihatan negara kepada RM47.7 bilion disifatkan sebagai satu langkah progresif yang amat wajar disokong bagi memperkasakan sistem kesihatan negara, khususnya dalam memenuhi keperluan perkhidmatan perubatan di Sabah.

"Walaupun peruntukan ini ditingkatkan, pelbagai isu kesihatan yang kritikal seperti penempatan doktor, keperluan perjawatan, serta kemudahan klinik masih menuntut penyelesaian jangka panjang. Malah, isu beban tugas doktor yang tidak seimbang dengan jumlah pesakit memerlukan pendekatan menyeluruh demi menjamin akses kesihatan yang berkualiti untuk rakyat," kata YB Datuk Rina Haji Jainal.

Beliau turut menambah bahawa tambahan inisiatif Belanjawan 2027 sebanyak RM1.8 bilion untuk Sabah amat penting bagi mempercepatkan penyelesaian masalah infrastruktur. Menurutnya, jalan raya yang baik adalah kemudahan asas paling kritikal bagi membolehkan penduduk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Menyentuh mengenai isu tenaga kerja perubatan, beliau menegaskan, "Inisiatif melantik dan menyerap lebih 15,000 doktor kontrak ke jawatan tetap amat kita alu-alukan. Namun, pelaksanaannya masih memerlukan penelitian serta penambahbaikan supaya kebajikan petugas kesihatan sentiasa terpelihara dan kestabilan sektor ini terus diperkukuh."

Kesemua penekanan dan ulasan mengenai sektor kesihatan ini disuarakan oleh beliau ketika menyempurnakan majlis perasmian Pink Ribbon Pickleball Tournament di 88 Pickleball, Tawau, baru-baru ini. Kejohanan anjuran Pink Ribbon Sabah dengan kerjasama Fuji Pickleball Club Tawau itu telah berjaya menghimpunkan kira-kira 136 peserta wanita, sekali gus menjadi platform serampang dua mata yang cemerlang dalam menggalakkan gaya hidup aktif di samping mengetengahkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan wanita.e

© 2026 The Ledger. All rights reserved.

The Bulletin